Aku ambil dari laman Surau Kampong.
Aku Adalah Anak Palestina
Monday, 25 May 2009 18:42
Assalamu’alaikum,
Namaku Fathi, dan aku adalah anak Palestina.
Aku berumur 20 tahun. Sepanjang itu jugalah aku membesar di tanah
berdarah ini, dan menjadi saksi kepada segala apa yang berlaku.
Peperangan, pembunuhan, kematian, pengeboman, dan pelbagai lagi perkara
seakan sudah menjadi panorama biasa untukku. Kamu tahu, hatta dentuman
bom dan muntahan peluru seakan-akan menjadi dodoian tidur untukku.
Tetapi jangan kata aku bahagia, hakikatnya hatiku sering tercalar
dengannya.
Aku
membesar tanpa keluarga. Ayah dan ibuku telah terkorban apabila Israel
merampas rumah kami. Masih jelas pada tubir mataku, bagaimana ayahku
ditembak dengan kejam, dan ibuku dirogol tanpa belas kasihan, bahkan,
mereka dengan buas telah mengoyakkan perut ibuku yang ketika itu sedang
mengandung, mengeluarkan adikku yang ada di dalam rahim, lalu menembak
adikku yang tak berdosa itu berkali-kali. Mujur sahaja pejuang Hamas
tiba ketika itu, jika tidak, pasti aku tidak akan ada di sini,
bercerita kepada kamu.Aku masih ingat lagi yang ketika itu aku
berumur 6 tahun. Pejuang Hamas yang menyelamatkan aku bernama Yahya.
Sesuai dengan namanya, ALLAH telah mengizinkannya memberikan kehidupan
baru kepadaku. Dia telah menjagaku, dan membesarkanku serta memberikan
pendidikan kepadaku. Aku memanggilnya ‘bapa’. Bagi aku yang melihat
sendiri bagaimana Israel menamatkan riwayat seluruh ahli keluargaku,
kasih sayang bapa membuatkan aku amat mengasihinya. . Dia seakan-akan
memberikanku cahaya..
Namun bahagia tidak panjang. Kehangatan kasih
sayang bapa terhenti apabila Israel melanggar gencatan senjata yang
entah buat kali ke berapa. Bapa telah mati dalam satu pertempuran
apabila Israel cuba menceroboh. Ketika itu aku sudah sedikit besar,
umurku sudah 20 tahun. Memandangkan pada waktu itu juga madrasah tempat
aku menuntut ilmu telah dirobohkan oleh Israel, maka aku mengangkat
senjata dan berjuang bersama-sama pasukan Izzuddin Al-Qassam, yang
merupakan sayap kanan Hamas.
Perjuangan
semakin sukar, kerana Israel telah berjaya membuatkan seluruh negara
ISLAM yang lain berdiam diri dengan keadaan kami. Belasan tahun
berlalu, peperangan terus berlaku, dan darah terus tertumpah. Nyawa
saban hari melayang. Suasana sudah ada perubahan. Dari teruk menjadi
semakin teruk.
Hari ini, sekali lagi Israel laknatullah telah
melanggar perjanjian gencatan senjata. Malah, mereka telah berjanji
untuk menyapu bersih segala penentang dalam serangan kali ini. Gaza
telah menjadi tumpuan serangan.
Israel tidak lagi menghiraukan
pandangan dunia.. Mereka sebenarnya langsung tidak takut dengan sebarang
ancaman atau teguran yang dikeluarkan oleh negara-negara lain. Hal ini
kerana, mereka tahu bahawa negara-negara lain tidak mampu berbuat
apa-apa melainkan bersuara sahaja. Amerika telah menjadi boneka Israel,
dengan mempertahankannya. Malah Amerika sendiri telah menghantar
bantuan ketenteraan untuk Israel.
Serangan kali ini adalah
serangan yang terdasyat. Israel telah menghantar 200 jet pejuang ke
ruang udara Gaza, dan melepaskan bom serta torpedo secara rambang ke
arah bandar. Angka kematian mencecah 3000 orang. Yang terkorban dalam
serangan buas ini bukan sahaja para pejuang, malah termasuk sekali
anak-anak kecil, perempuan dan orang-orang tua yang tak berdaya.
Bangunan-bangunan banyak yang hancur dan roboh.
Gaza telah
menjadi sungai darah. Suasana yang memang sedih, menjadi tambah
menyayat hati. Mayat bergelimpangan di sana-sini. Mayat-mayat hancur
juga banyak yang bersepah di atas jalan. Ada juga yang tertepek pada
dinding-dinding bangunan. Kemusnahan kali ini memang di luar akal.
Inilah yang terdasyat pernah terjadi.
Dalam kemusnahan dasyat
disebabkan tangan Israel laknatullah ini, kami mendapat berita bahawa
ada kerajaan dunia menegur tindakan zalim Israel. Namun, teguran itu
membuatkan telingaku tambah berasap. Kamu tahu apa tegurannya?
“Harap Israel boleh cuba mengelakkan serangan mereka dari rakyat biasa.”
Pada
aku yang berada di tengah-tengah Gaza ini, itu adalah teguran terbodoh.
Mana mungkin hendak mengelak dari rakyat biasa? Adakah mereka mempunyai
peluru berpandu yang boleh mengesan sama ada manusia itu askar atau
tidak? Tahukah mereka bahawa Gaza ini penuh dengan rakyat yang tak
berdosa? Malah torpedo dan bom yang dilepaskan oleh Israel mempunyai
lilitan letupan yang besar. Mustahil tidak mencederakan rakyat biasa.
Lihatlah apa yang terjadi di sini, kalau Israel boleh mengelak rakyat
biasa, pasti tidak akan ada mayat-mayat anak kecil, perempuan lemah dan
orang tua di sana-sini.
Kini, jet pejuang Israel telah
mengosongkan ruang udara Palestin. Adakah mereka hendak berhenti?
Tidak. Mengikut maklumat yang telah kami terima, mereka sudah bersedia
di luar Gaza dengan 100 buah kereta kebal. Mereka hendak melunaskan
kerja-kerja yang tidak mampu dilakukan oleh jet pejuang.
Aku di
balik dinding ini, bersama-sama beberapa orang sahabatku, sedang
menanti kehadiran mereka dengan hanya berbekalkan AK-47, senjata yang
boleh dikatakan kuno jika hendak dibandingkan dengan senjata Israel.
Hamas telah menetapkan untuk bertempur hingga ke hujung nyawa. Maka
beberapa kumpulan telah diarahkan untuk mensabotaj kereta kebal-kereta
kebal yang memasuki Gaza. Kalau boleh, kami diarahkan untuk merampas
kereta kebal.
Sebahagian anak-anak kecil sudah mengutip
batu-batu. Aku terasa seperti hendak menangis. Kasihan. Teringat ketika
aku berusia 6 tahun dahulu. Saat ayah dan ibuku mati dalam keadaan yang
azab. Mereka juga sepertiku. Cuma bezanya, mereka mungkin tidak sempat
membesar.. Ini mungkin peperangan terakhir bagi kami. Dengan bilangan
kami yang tinggal hanya sekitar 100 orang, agak mustahil untuk menang.
Aku
bukan tidak yakin atas bantuan ALLAH. ALLAH ada berfirman, “Berapa
banyak sudah pasukan yang kecil menewaskan pasukan yang besar dengan
izin ALLAH.”
Tetapi
aku rasa, apa yang berlaku pada saat ini adalah teguran ALLAH kepada
ummat ISLAM seluruhnya. Yang aku tahu, ummat ISLAM pada hari ini sering
bertelagah. Malah ramai dari kalangan mereka yang tidak ambil kisah
dengan saudara mereka. Mereka hidup dalam suasana ananiah yang menebal.
Hati mereka telah menjadi keras seperti batu untuk merasakan
penderitaan saduara-saudara mereka. Kalau di sini, mudah untuk dilihat
bagaimana Fatah mengkhianati Hamas dalam kesatuan mereka untuk menjaga
Palestin. Tidak sangka bahawa mereka itu pengecut yang tidak berguna.
Menikam kami dari belakang, bahkan tidak menghiraukan langsung keadaan
rakyat. Yang mereka tahu hanyalah kuasa. Mereka itu adalah boneka
Israel.
Aku juga mendengar bahawa,negara- negara ISLAM di luar
sana sudah tidak mengamalkan ISLA di negara masing-masing.
Pemimpin-pemimpin mereka leka dengan kesenangan yang ada. Semuanya
tunduk dan sujud menyembah Amerika dan segala kuncu-kuncunya.
Aku
tahu, ini bukan salah mereka. Mereka sebenarnya telah disuntik dengan
jarum beracun pada akhir era Khilafah Uthmaniyyah lagi. Ummat ISLAM
melemah, melemah, dan terus melemah sehinggalah jika ada saudara mereka
yang dibunuh, dicincang, diinjak, terkorban, hati mereka langsung tidak
merasa. Namun semangat juang para muslimin masih meninggi. Apabila
Israel memasuki Palestin pada tahun 1948, masih ada sebahagian muslimin
yang merentasi sempadan dan membantu orang-orang di sini.
Malah,
aku masih ingat lagi orang-orang tua bercerita mengenai perang antara
Negara-negara Arab dan Israel. Orang-orang tua berkata, andai ketika
itu tiada perjanjian damai, maka penderitaan hari ini tidak akan
terjadi. Namun apa yang berlaku ketika itu adalah, para mujahidin yang
ikhlas telah ditangkap oleh negara-negara arab sendiri, dan mereka
telah menandatangani satu perjanjian dengan Israel. Semenjak hari itu,
apa sahaja yang dilakukan oleh Israel di sini, hanya akan ditegur
dengan suara sahaja oleh negara-negara arab di sekeliling Palestin, dan
negara-negara ISLAM di seluruh dunia.
Apa yang berlaku kepada
kami di sini tidak lebih dari teguran ALLAH kepada ummat ISLAM. ALLAH
hendak menunjukkan betapa lemahnya ummat yang pada satu masa dahulu
pernah menguasai 2/3 dunia. ALLAH hendak menunjukkan, betapa ummat ini
telah meninggalkan ajaranNya dan melupakan deenNya.
Aku pernah
mendengar peristiwa tsunami yang melanggar tenggara asia pada lima
tahun lepas. Sehingga ada yang menyatakan bahawa itu kiamat kecil.
Ketika itu, ramai yang menyatakan bahawa ALLAH telah marah, lalu
menegur manusia dengan bala bencana. Aku hanya mampu tersengih. Kamu
tahu, di sini kiamat kecil berlaku hari-hari. Tempat ini saban hari
bergegar dengan dentuman bom dan bingit dengan muntahan peluru. Tetapi
tiada manusia pun yang menyatakan bahawa apa yang terjadi pada kami ini
adalah teguran ALLAH kepada mereka. Mungkin manusia tidak tahu yang
ALLAH ada berfirman, “Telah nampak kerosakan di darat dan di lautan
disebabkan perbuatan tangan-tangan manusia. ALLAH mengkehendaki agar
mereka merasakan sebahagian dari akibat perbuatan mereka agar mereka
kembali (ke jalan yang benar)”
Oleh kerana ketidak pedulian
orang-orang ISLAM di luar sana, kami pasukan HAMAS telah berusaha
bersungguh-sungguh untuk mempertahankan bumi suci ini. Kami menentang
segala keganasan yang berlaku di sini dengan tulang empat kerat kami,
dengan segala kudrat kami. Tetapi yang aku amat terasa hati adalah
apabila, tindakan kami untuk mempertahankan tanah kami dikatakan
sebagai satu tindakan keganasan..
Aku hairan dan pelik dengan
orang-orang ISLAM di luar sana. Kamu tidak punya akalkah? Kenapa kami
digelar sebagai pengganas? Sedangkan rumah-rumah kami dirobohkan,
sedangkan isteri-isteri kami dirogol dan dibunuh tanpa belas kasihan,
sedangkan anak-anak kami ditembak, sedangkan ayah dan ibu kami
terkorban, semuanya dek kerana penjajahan Israel atas tanah kami..
Aku
hairan, setahu aku, semua negara ISLAM dahulu menentang penjajahan di
bumi mereka. Mereka menyah penjajah dan membenci penjajah. Tetapi
apabila tanah kami dijajah, mereka menyelar kami sebagai pengganas,
mereka menyatakan kami tidak reti bertolak ansur. Aku hairan. Kenapa
kamu bersikap begitu? Tahukah kamu bahawa Rasulullah SAW ada bersabda,
“Barangsiapa yang berpagi-pagi tanpa mengambil kisah urusan kaum
muslimin, maka dia bukan dari kalangan mereka.”
Kemudian
kamu menyatakan bahawa jihad itu adalah jalan keganasan. Kamu pesongkan
jihad kepada jihad-jihad yang kamu ada-adakan. Jihad masyarakat la,
jihad menentang pencemaran la, jihad menentang kemiskinan la dan
pelbagai lagi jihad yang kamu reka, yang tidak utama, berbanding jihad
kami yang sedang mempertahankan deen ISLAM ini. Sedangkan ALLAH telah
mengizinkan kami untuk memerangi mereka yang menzalimi kami,“Telah
diizinkan untuk kamu memerangi mereka yang menzalimi kamu.....”
Kamu
tahu, hal Palestin, bukanlah hal kecil. Ini juga bukanlah hal
pembebasan sebuah tanah. Hal Palestin adalah hal deen ISLAM itu
sendiri. Yahudi bukan hendak merampas tanah semata-mata, bahkan mereka
hendak melenyapkan ISLAM dari muka bumi kita. Mempertahankan Palestin
hari ini, adalah mempertahankan ISLAM itu sendiri. Kami sanggup
berkorban, kerana kami sedang mempertahankan ISLAM. Kami bukan
nasionalis, kami adalah HAMBA ALLAH. ALLAH hanya redha pada ISLAM,
bukan pada negara-negara yang kita duduki. ALLAH telah berfirman, “Hari
ini telah aku sempurnakan untuk kamu deen kamu(ISLAM), dan aku
sempurnakan untu kamu nikmatKu (ISLAM,) dan aku redha ISLAM itu menjadi
deen kamu.”
Kamu tahu yang Masjidil Aqsa itu adalah tempat suci
ummat ISLAM. Ia sama sahaja seperti Masjidil Haram di Makkah dan Masjid
Nabawi di Madinah. Tetapi kenapa dua masjid itu kamu tatang seperti
minyak yang penuh, sedangkan masjid suci di Palestin ini kamu biarkan?
Bukankah masjid ini tempat Rasulullah diangkat ke langit untuk mikraj?
Adakah kamu tidak berasa apa-apa apabila tembok tempat Rasulullah SAW
menambat buraq dijadikan tembok ratapan oleh kaum Yahudi? Adakah kalian
lupa firman ALLAH? “Maha Suci kepada yang mengisra’kan hambaNya pada
waktu malam dari Masjidil Haram ke Majidil Aqsa yang diberkati
sekelilingnya dan ditumpahkan cahaya kepadanya dari ayat-ayat KAMI.”
Hati
kalian telah dibius sebenarnya. Kalian hanya mampu bersuara tetapi
tidak mampu bergerak. Tidak cukup dengan itu, kalian menggelar kami
yang berjuang ini sebagai pengganas. Kamu tahukah apa makna semua ini?
Ini menunjukkan ISLAM itu telah pudar dari penghayatan kalian. Kalian
tidak bergerak membantu kami adalah tanda lemahnya hubungan kalian
dengan ALLAH. Kalian lebih takut segala halangan yang direka oleh
musuh-musuh ALLAH dari ALLAH itu sendiri. Adakah kalian lupa sabda
Rasulullah SAW? “Muslim itu adalah saudara bagi muslim yang lain,
jangan kamu menzaliminya, mengkhianatinya atau menyerahkannya kepada
mereka yang hendak menzaliminya.”
Bukankah ALLAH juga ada
berfirman, “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati
ALLAH dan RasulNya, dan janganlah sesekali kalian mengkhianati amanah
kalian sedankan kalian mengetahuinya.”
Tapi apakah pengkhianatan yang berlaku hari ini? Apakah yang kalian hendak katakan kepada ALLAH pada hari kelak?
Adakah
kalian sangka, Israel itu akan berhenti selepas menawan Palestin ini?
Ketahuilah yang mereka itu akan bergerak menawan seluruh negara ISLAM
yang lain. Mungkin aku telah tiada ketika itu. Tetapi aku tahu apa yang
akan berlaku. Kamu tahu apa yang akan berlaku? Apa yang akan berlaku
adalah apa yang telah berlaku kepada kami. Ketika itu baru kamu rasa,
apa yang kami rasa hari ini. ALLAH telah berpesan, “Tidak akan sesekali
redha yahudi dan tidak pula nasara sehingga kamu mengikuti jalan
mereka.”
Tidak cukupkah penderitaan kami? Sehingga bila kamu
semua hendak tidur memekakkan diri? Hari kamu akan tiba nanti andai
kamu tidak bergerak lagi. Ketika itu baru kamu merasai apakah seronok
digelar pengganas di bumi sendiri.
Kamu tahu, kalaulah Masjidil
Aqsa itu boleh bersuara, aku yakin yang dia akan menjerit memarahi
kalian yang sedang duduk bergoyang kaki, membiarkan aku dan seluruh
penduduk Palestina ini menderita. Kamu tahu,kalaulah dinding-dinding
rumah yang ada di Palestin ini boleh bersuara, pasti mereka akan
melaknat kalian yang buat tidak endah dengan keadaan kami di sini. Kamu
tahu, kalaulah batu-batu yang anak-anak kecil kami baling itu boleh
bersuara, batu-batu itu pasti akan berteriak menghina kebaculan kalian.
Tidakkah
kamu tahu bahawa,nanti bayi-bayi kami, anak-anak kami, isteri-isteri
kami, ayah dan ibu kami, pejuang-pejuang kami yang telah gugur semuanya
itu akan bangkit di hari akhirat, hari yang ALLAH telah janjikan untuk
kita berkumpul di Padang Mahsyar bersama, mereka akan mempersoalkan
kalian di hadapan ALLAH atas apa yang kalian lakukan kepada kami hari
ini.. Aku tahu apakah yang akan mereka katakan nanti. “Ya ALLAH, mereka
saudara kami, tetapi mereka telah membiarkan kami.”
Apakah kamu menyangka ALLAH akan melepaskan kalian?
Hari
itu kami akan bangkit dengan darah-darah kami sebagai bukti perjuangan
dan penderitaan kami. Darah kami akan berbau harum seperti kasturi.
Kerna kami syahid dalam mempertahankan deen ALLAH yang ALLAG redhai.
Kalian tahu, yang mati syahid tidak akan dihisab oleh pertimbangan
ALLAH. Kami akan terus masuk ke syurga. Tetapi apakah nasib kalian
ketika hari itu? Kalian akan merangkak di Siratul Mustaqim kerana
pemeriksaan yang sangat berat oleh ALLAH. Dosa kalian meninggalkan kami
amat berat sebenarnya.
“Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan
walau sebesar zarah, tetap akan dihitung, dan barangsiapa yang
mengerjakan kejahatan walau sebesar zarah, tetap akan dihitung.”
Pasti kalian akan meminta dijadikan sebagai tanah ketika itu.
“ ...alangkah baiknya jika dahulu aku hanyalah tanah.”
Kamu
tahu, aku dan semua sahabatku, juga semua mereka yang telah mati
terkorban, terbunuh di sini, tidak memerlukan belasungkawa kalian. Yang
kami perlukan adalah perubahan diri kalian. Kita saudara bukan? Kenapa
kalian mesti membiarkan kami? Berubahlah untuk ALLAH, untuk diri kalian
sendiri. Ketahuilah bahawa ISLAM itu satu. Palestin juga adalah tanah
kamu. Kenapa kalian membiarkan kami? Buangkanlah wahn dalam hati
kalian. Dunia ini hanya sementara. Akhirat jualah yang benar dan kekal
abadi selama-lamanya. Bukankah ALLAH telah berpesan kepada kalian,
“
setiap yang bernyawa akan merasai kematian, dan hanya pada hari kiamat
sahajalah diberikan dengan sempurna balasan kamu. Barangsiapa yang
dijauhkan dari neraka, dan dimasukkan pula ke dalam syurga, sungguh dia
telah memperolehi kemenangan, kehidupan di dunia ini tiadalah lebih
dari kesenangan yang memperdaya”
Kenapa kalian mesti takut dengan
segala sekatan Israel dan kuncunya Amerika? Adakah kerana mereka
memegang nyawa kalian? Adakah kerana mereka memegang harta kalian?
Buanglah wahn, hilangkanlah cinta dunia dan takut mati kalian. ALLAH
jugalah yang memegang nyawa kalian. ALLAH jugalah yang menjaga kalian.
ALLAH jugalah yang berkuasa atas kalian. Bukankah ALLAH sering
mengulang di dalam Al-Quran, “Sesungguhnya ALLAH itu atas segala
perkara.”
Aku ulang, hidup kita hanya sementara. Hanya
sementara. Kenapa kalian sia-siakan akhirat yang selama-lamanya untuk
dunia yang sementara ini. Apa yang kalian takutkan?
Janganlah
kalian hanya menjadi buih, dijentik terus pecah. Rasulullah telah
mengetahui akan datangnya zaman ini. Sabdanya, “kelak ummat-ummat lain
akan menggerumuni kalian seperti orang-orang lapart menggerumuni
hidangan.”
Sahabat-sahabat bertanya, “Apakah ketika itu bilangan kamu sedikit ya Rasulullah?”
Rasulullah SAW menjawab, “Tidak, bahkan kamu ramai. Tetapi kamu seperti buih di lautan. Kamu telah diserang penyakit wahn.”
Sahabat bertanya lagi, “Apakah wahn itu ya Rasulullah?”
“Cinta dunia dan takut mati”
Aku
dengar kalian mempunyai banyak tentera dan senjata yang hebat-hebat.
Kalau seluruh negara ISLAM bersatu, Amerika juga bukan tandingan.
Hendak menentang Hizbullah pun mereka tidak mampu, apalagi menentang
kesatuan kalian. Kenapa kalian takut? Buangkanlah wahn. Bantulah kami.
Bukankah di dalam Al-Quran yang kalian kita sama-sama membaca ada
tertulis, “Dan sekiranya mereka meminta pertolongan kalian (ketika
mereka diserang) kerana ISLAM, kalian mestilah sudi menolong mereka.”
Ah...
Kereta
kebal mereka telah mampir. Aku mesti bersiap sekarang.. Kalian tahu,
walaupun kami mati, kami akan masuk syurga. Kalian yang terus hidup
akan ke mana? Kalian akan dipersoalkan atas apa yang berlaku pada kami
hari ini. ALLAH bersama kami dan tidak bersama-sama musuh kami. Mati
kami mati mulia, menang mereka menang hina. Kami jugalah yang menang
sebenarnya.
ALLAH itu matlamat kami,
Rasul itu contoh ikutan dan pemimpin kami,
Al-quran itu perlembagaan kami,
Jihad itu adalah jalan kami,
Dan mati di jalan ALLAH itu, adalah cita-cita tertinggi kami.
Aku
tinggalkan pesanan ini, moga pesanan ini tidak hancur dimusnahkan oleh
kemusnahan yang berlaku di sini. Pesanan ini untuk kalian. Ya, kalian.
Saudaraku, seaqidah denganku.
Semoga ALLAH mencampakkan kesedaran
dalam hati kalian, semoga ALLAH membangkitkan raksasa yang tertidur
akibat bius yang disuntik oleh musuh, semoga ALLAH membangkitkan
kekuatan kita. Semoga ISLAM itu kembali tinggi seperti dahulu kala,
atau mungkin lebih baik lagi.
Janganlah kalian takut,
sesungguhnya ALLAH telah berjanji, “Sekiranya kamu membantu ALLAH, maka
ALLAH akan membantu kamu dan menguatkan kaki-kaki kamu.”
Ketahuilah,
ALLAH tidak akan ubah nasib kita, melainkan kita berusaha. ALLAH
mengingatkan kita dalam firmanNya, “Sesungguhnya ALLAH tidak akan
mengubah nasib sesuatu kaum, melainkan kaum itu mengubah dahulu apa
yang ada pada diri mereka.”
Salam dari sahabat dan saudara kalian, anak Palestina bumi berdarah, bumi perjuangan, bumi pengorbanan.
Selamatkanlah diri kalian dari api neraka. Sesungguhnya api neraka itu azabnya tidak terkira.
Assalamu’alaikum.
Anak Palestina, Fathi Abzinah.
-
Saya dedikasikan cerpen ini untuk saudara-saudara saya yang sedang
berjuang di Palestina. Harap usaha yang saya lakukan ini mengetuk
hati-hati yang masih hidup dari kalangan muslimin yang lain. Hanya ini
yang mampu saya lakukan. Ampunkanlah kelemahan saya wahai
saudara-saudara saya di Gaza, Palestin. Saya hanya mampu berdoa,
menangis, menulis, menyeru dan bersuara.
oleh Hilal Asyraf di blog http://langitillahi .blogspot. com/
No comments:
Post a Comment